Followers

Sunday, April 4, 2010

Stres dan penyelesaiannya mengikut Islam

Firman Allah s.w.t :al-Mulk :2
"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)".

Allah s.w.t mencipta manusia dan menguji manusia untuk menilai siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Ujian Allah boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, samada dalam bentuk fizikal, biologikal atau psikologikal dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :155
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar".

Punca stres

1) Dalam diri :Seperti; harapan yang tinggi, masalah peribadi, pengalaman yang traumatik semasa kecil dan lain-lain pengalaman.

2) Tekanan rumah tangga : seperti; jodoh perkahwinan, keibubapaan, hubungan suami isteri, hubungan dengan mertua dan sebagainya.

3) Tekanan sosial :seperti; masalah perhubungan, tekanan tempat kerja, tekanan kehidupan samada di bandar atau kampung.

4) Tekanan pekerjaan : seperti; jenis pekerjaan, risiko atau tanggungawab pekerjaan, keadaan fizikal kerja, organisasi, peranan atau tugas, perkembangan kerjaya dan komunikasi yang tidak berkesan.

Firman Allah s.w.t :al-Balad :4
"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa Dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)".


Manusia sejak berada dalam rahim ibunya sudah menghadapi stres kerana tempat tinggalnya yang sangat sempit hanya sebesar sebiji bola sahaja, kemudian apabila dilahirkan manusia stres menghadapi angin dunia yang sejuk yang menyebabkan bayi menangis, kemudian sakit apabila tali pusat tertanggal, kemudian sakit bersunat, kemudian stres memasuki alam persekolahan samada Pra Sekolah, Sekolah rendah, sekolah menengah,dan universiti, kemudian stres mencari jodoh dan perkahwinan, kemudian stres rumah tangga, masalah anak-anak, seterusnya berhadapan dengan pelbagai penyakit; kencing manis, lemah jantung, darah tinggi dan sebagainya, kemudian stres menghadapi sakaratul maut seterusnya sres menghadapi Munkar dan Nakir dan seksa kubur, kemudian stres hari kebangkitan semula, perhimpunan Mahsyar, timbangan amal, titian Sirat dan akhir sekali Syurga atau neraka. Berbahagialah seorang manusia bila dimasukkan ke dalam Syurga dan hilanglah stresnya tapi jika dimasukkan ke Neraka stresnya akan berterusan tidak berpenghujung.

Punca stres mengikut Islam

Menurut pandangan Islam punca stres itu bukan dari tekanan mental semata-mata bahkan punca tekanan itu sebenarnya berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan hati, roh, nafsu dan akal.

Kelemahan hati

Kelemahan hati yang menyebabkan longgarnya hubungan manusia dengan Allah s.w.t yang menyebabkan kehidupannya menjadi sempit seolah-olah tidak ada jalan keluar daripada masalah. Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus(latifah) ketuhanan (rabbaniah) dan kerohanian (ruhaniah)

Firman Allah s.w.t : Toha :124
"Dan sesiapa Yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta".

Kelemahan roh

Roh menghidupkan jasad atau badan, maka kekuatan roh itu dinilai dari sudut mengenali Allah s.w.t, semakin ia kenal Allah semakin kuat dan mantap roh tersebut, jika tidak maka roh itu akan lemah mudah diganggu dan diresapi oleh iblis dan syaitan.

Kelemahan nafsu

Mengikut imam al-Ghazali nafsu adalah satu unsur yang halus yang mana ia adalah hakikat manusia, ia mempunyai bermacam-macam sifat dan keadaan. Apabila keinginan negatif dan keburukan menguasai hati, itulah yang dikatakan nafsu Lawwamah atau Ammarah bis su'. Apabila ketenangan, ketenteraman dan kejernihan menyelubungi hati, itulah yang dikatakan nafsu Mutmainnah.

Firman Allah s.w.t : al-Fajr :27-30
27. (setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -


28. "Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -

29. "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia -

30. "Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! "


Kelemahan akal

Menurut imam al-Ghazali, akal ialah sesuatu yang dapat menerima ilmu dan wadah pengetahuan, kelemahan akal berpunca daripada kejahilan atau sedikit ilmu seseorang. Para ilmuan mengandaikan ilmu itu adalah makanan bagi akal, tanpa ilmu akal akan mati, akal yang mati tidak akan berfungsi dengan baik.

Strategi menangani stres melalui pendekatan Islam

1) Tadabbur al-Quran

Membaca al-quran dengan betul, dalam masa yang sama memahami makna ayat-ayat yang dibaca serta menghayati dan mengamalkan arahan dan larangan akan mententeramkan fikiran, hati, rohani dan jasmani.


Selalulah membaca al-Quran sekurang-kurangnya 2 kali khatam setahun. setiap hari sekurang-kurangnya sepuluh ayat, insyaAllah kita akan ditulis sebagai orang yang sentiasa ingat kepada Allah s.w.t.

2) Taqarrub kepada Allah s.w.t
Taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, mengenali dan mencintainya lebih daripada segala-galanya sehingga lahir rasa kehambaan sejati dalam diri melalui amal ibadah secara istiqamah (berterusan) dengan cara;
i) Qiamullail
iaitu bangun pertengahan malam atau sepertiga malam untuk beribadah kepada Allah s.w.t dengan menunaikan ibadah solat sunat seperti solat Tahajjud, Hajat, Taubat, Tasbih dan Witir.
ii) Istighfar dan Taubat
iaitu dengan sentiasa beristighfar sekurang-kurangnya 75-100 kali sehari dan berzikir dengan zikir-zikir daripada al-Quran dan juga Hadis.

3) Syukur dan ikhlas
iaitu melakukan kerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, semuanya dilakukan kerana Allah s.wt. Jika kita bekerja atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu, apabila kita tidak dapat apa yang kita hajati sudah pasti stres akan melanda.

Firman Allah s.w.t :al-Insaan :9
"(sambil berkata Dengan lidah atau Dengan hati): "Sesungguhnya Kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; Kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih".

4) Tawakkal
Berserah dan menyerahkan natijah semua perkara kepada Allah s.w.t setelah berusaha sedaya upaya serta percaya yakin kepada segala janjinya.

unsur penting dalam Tawakkal

i) Menyedari bahawa Allah pemberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat dan kuat untuk bekerja.

ii) Menyedari bahawa segala perbuatan, tindakan, hakikat sebenarnya adalah kehendak Allah s.w.t.

InsyaAllah jika semua ini ada pada kita, maka kita akan menjadi manusia yang tidak pernah berputus asa dan tidak akan stres kerana semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. Sebagai orang Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t, sepatutnya kita dapat menghadapi stres dengan baik setelah kita mengetahui bahawa semua yang menimpa kita adalah ujian dari Allah s.w.t, walaubagaimanapun stres akan melanda sesiapa sahaja, kerana semua manusia akan diuji oleh Allah s.w.t, cuma sebagai muslim mungkin kita dapat mengurangkan stres tersebut dengan cara-cara yang disebut di atas, di sana ada lagi cara-cara lain yang boleh dilakukan untuk mengawal stres seperti pendekatan fizikal dan emosi.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

No comments:

Post a Comment