1. Hendaklah menyucikan diri dari sifat yang cela seperti riya’, ujub, kibir, hasad dan lain-lain sifat tercela. Baiki diri dengan bersifat terpuji seperti ikhlas, benar, zuhud, tawadhu’ dan lain-lain sifat terpuji. Menurut Imam Al-Ghazali, selama tiada suci hati itu daripada sifat-sifat yang keji, maka tiada menerima ia akan ilmu yang memberi manfaat pada agama dan tiada terang hatinya itu nur ilmu itu.
2. Mengosongkan hati daripada segala masyghul (kesibukan) kepada dunia, anak-isterinya, jual beli dan apa sahaja perkara yang membimbangkan hatinya.
3. Merendahkan dirinya dan menghinakan dirinya. Jangan membesarkan diri pada ilmu yang di ajar oleh Gurunya. Menerima dengan hormat pengajaran Gurunya itu. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu ’Adiy, ertinya ” Tidak lah patut sifat orang Mukmin itu menghinakan dirinya dengan menuntut suatu hajat kepada manusia kecuali pada menuntut ilmu”.
4. Bagi orang yang mubtadi (yang baru belajar), hendaklah memberi fokus atau menumpukan hati pada ibadat. Jangan di tumpukan pada ilmu yang mana kebanyakan ulama’ –ulama’ khilaf atau bertentangan pendapat. Di khuatiri akan menimbulkan rasa was-was di dalam hati sehingga menjadi bingung memikirkan pengangan pada satu-satu masalah.
5. Janganlah ditinggalkan mempelajari segala bidang ilmu yang di puji oleh syara’, sebaik-baiknya pelajarilah kesemuanya sehingga mahir tetapi haruslah secara tertib. Pelajarilah dulu ilmu fardhu ain, dan setelah mengamalkanya, baru lah menuntut ilmu fardhu kifayah.
6. Hendaklah bersungguh-sungguh menuntut ilmu yang memberi manafaat di dalam Akhirat, iaitu ilmu yang terkandung di dalam ihya’ Ulumiddin, kitab Arba’in (Fi) Al-Ushul(iddin), kitab Lubab (Ihya Ulumiddin) iaitu Mukhtasar Ihya’ Ulumiddin, kitab Bidayatul Hidayah, kitab Minhajul ’Abidin dan segala kitab Ilmu Tasauf. Ilmu Tasauf terkandung di dalamnya ilmu Ushuluddin, iaitu i’tiqad, ilmu Fiqah, iaitu ilmu ibadat dan ilmu Suluk dan Thoriqat, membawa kepada ilmu Mukasyafah dan ilmu Haqiqat. Berkata Imam Ghazali RA :“( Bermula ) ilmu al Mu’amalat, ya’ni ilmu dan ‘amal itu, membawa kepada ilmu Al-Mukasyafah; dan mukasyafah itu iaitu dibuka (الله تعالى) hati seseorang dengan ma’rifat (الله تعالى), ya’ni mengenal (الله تعالى). Dan demikian itu nur yang ditaruhkan (الله تعالى) di dalam hati dengan sebab berbuat ‘ibadat dan mujahadah, ya’ni dengan memerangi hawa nafsunya dan melawan syaithan. Dan ( yang ) demikian itu yang menyampaikan kepada martabat iman Sayyidina Abi Bakar Ash-Shiddiq (رضى الله عنه), yang iaitu jikalau ditimbang imannya dengan iman segala isi bumi nescaya berat imannya itu. Dan ( yang ) demikian itu kerana rahsia yang tetap ( ya’ni, menetap ) di dalam hatinya itu, tiada dengan sebab mendirikan burhan ( ya’ni hujah ) dan dalil.”
(Dan) kata Imam Al-Ghazali RA lagi : “Dan ketahui olehmu bahawasanya yang terlebih mulia daripada segala ilmu dan perhinggaan (, ya’ni kemuncak, ) darjat segala ilmu itu iaitu ma’rifatullah Taala, ya’ni mengenal akan (الله تعالى) dengan penglihatan nur iman yang di dalam hati. Dan ( yang demikian itu ) iaitu seperti laut yang tiada dapat dihinggakan perhinggaan dalamnya itu. Dan ( bermula ) sehingga- hingga (, ya’ni setinggi-tinggi ) darjat manusia dalamnya itu ( ialah ) martabat segala Anbiya’, kemudian Aulia’, kemudian yang mengiringi mereka itu.”
7. Qasad (Maksud atau tujuan hati) menuntut ilmu kerana Allah Ta’ala, ya’ni:
i) kerana menjunjung titah Allah Ta’ala, dan
ii) kerana negeri Akhirat, dan
iii) kerana membaikkan dzahirnya itu dengan ’ibadat kepada Allah Ta’ala, dan
iv) membaikkan batinnya, ya’ni hatinya itu, dengan (supaya) bersifat (dengan) segala sifat yang kepujian, dan menyucikan (batinnya, iaitu hatinya itu) dengan segala sifat kecelaan, serta hadzir kepada Allah Ta’ala.
( Dan ) jangan qasadnya (ya’ni maksudnya dengan) menuntut ilmu itu::
i) kerana (hendak men)jadi penghulu orang, dan
ii) supaya jadi orang besar, dan
iii) dapat kemuliaan, dan
iv) dapat harta, dan
v) dapat kemegahan.
( Dan dari ) kerana inilah kata Imam Al-Ghazali RA (di dalam (kitab) Bidayatul Hidayah : “Jika ada qasadmu dengan menuntut ilmu itu iaitu munafasah, ya’ni hendak menang daripada berbantah bantahan dan bermegah-megahan dan terdahulu daripada orang yang sesama (kamu), dan berkehendak cenderung muka manusia kepadamu, ya’ni berkehendak dikasihi oleh orang dan berkehendak menghimpunkan kekayaan dunia, maka adalah qasadmu akan yang demikian itu mengusahai dalam merobohkan agamamu dan membinasakan akan dirimu dan adalah engkau jual Akhiratmu itu dengan duniamu. Maka perjualanmu itu sangat rugi dan perniagaanmu tiada laba (ya’ni untung) dan orang yang mengajar (, ya’ni guru yang mengajar) akan dikau itu (dikira) menolong ia atas engkau berbuat maksiatmu dan jadilah ia sekutu bagimu (, ya’ni denganmu) di dalam kerugianmu dan dia itu seperti orang yang menjual pedang kepada orang yang merampas di jalan dan yang demikian itu (men)jadi maksiat. Dan barang siapa menolong ia atas seorang yang berbuat maksiat jika dengan setengah kalimat sekalipun nescaya adalah bersekutu baginya di dalam berbuat maksiat.”
( Dan lagi kata ) Imam Al-Ghazali RA : “(Dan) jika ada niatmu dan qasadmu antaramu dan antara (الله تعالى) daripada menuntut ilmu dan belajar akan dia (ya’ni ilmu) akan berkehendak hidayah, ya’ni berkehendak (kepada) petunjuk daripada (الله تعالى) pada berbuat ‘ibadat pada dzahir dan ‘ibadat bathin, bukan semata-mata riwayat, ya’ni bukan niatmu itu mengqasad hendak bercertera (iaitu bercerita), jua maka ketika itu sukai olehmu (kerana) bahawasanya segala Malaikat yang di dalam langit itu menghamparkan bagimu akan sayapnya apabila engkau berjalan dan adalah segala ikan di laut mengucap Istighfar bagimu, ya’ni meminta ampun akan (الله تعالى) bagimu, apabila engkau (ber)usaha akan belajar ilmu yang memberi manafaat itu.”
(Di petik dari website: http://roudhah.net )
No comments:
Post a Comment